Jumaat, 29 Januari 2010

RCW suka melawa


NAMA Rozita Che Wan berada dalam senarai calon akhir atau Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (2009) bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular. Kejayaan ini dapat mengubati kehampaan pada tahun lalu apabila namanya tercicir dari kategori yang sama.

Biarpun akur bukan mudah untuk menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular, namun jauh di sudut hatinya, Rozita tidak menafikan mempunyai harapan yang tinggi untuk memenangi kategori itu.

Namun, dia bersikap terbuka dengan nama lain yang turut tersenarai dalam Top 5 Pelakon TV Wanita Popular untuk edisi ABPBH2009 iaitu Fasha Sandha, Noorkhiriah, Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah.

“Saya pernah tersenarai dalam kategori itu pada 2007 dan bersaing dengan Dynas, Fasha Sandha, Rita Rudaini dan Eja. Tapi rezeki ternyata berpihak kepada Dynas. Pada tahun 2008, nama saya tercicir tapi saya masih diberi peluang oleh Berita Harian untuk menjadi penyampai trofi di samping Ayu Raudhah, Saida dan Sairah.

“Alhamdulillah pada tahun ini nama saya tercalon lagi dalam senarai Top 5. Saya pun tak sangka akan tersenarai lagi. Melihat kepada calon yang bertanding menyaksikan saingan artis baru dan senior. Tapi sesiapapun yang berada di tempat saya, pasti nak menang biarpun harapan terlalu tipis.

“Pada akhirnya semua bergantung kepada pemilihan peminat yang tidak boleh dijangka. Selain Scha yang popular dengan drama Awan Dania, Tiz Zaqyah pun cukup diingati dengan drama Nur Kasih. Saya hanya mampu mengharapkan yang terbaik saja,” katanya yang sedang menyiapkan baki penggambaran drama 26 episod, Cikgu Kermisah Kerbi arahan Raja Ahmad Alauddin.

Dalam pada itu, Rozita turut ditanya mengenai sikapnya yang terlalu mementingkan gaya di depan khalayak. Harus dipuji, Rozita tidak seperti sesetengah mereka yang bergelar selebriti yang selalu mengambil mudah dalam soal bergaya dan tak pernah kalah dalam soal itu.

Pernah diusik antara pelakon yang gemar memakai bulu mata tebal, ibu kepada dua anak ini sebenarnya menunjukkan contoh yang baik bahawa apabila bergelar artis setiap sudut pasti akan dipandang dan menjadi perhatian masyarakat seperti mana kisah kontroversi yang melingkarinya.

“Ya, betul saya memang suka melawa dan semuanya dilakukan atas kepuasan diri sendiri. Sebelum bergelar artis pun, saya akan menjaga penampilan bila keluar rumah.

“Kini apa yang saya lakukan bukan nak menunjuk-nunjuk saya ini sudah jadi artis, tapi ia lebih kepada keselesaan saya membawa diri,” katanya. - Oleh Zaidi Mohamad (zaidim@bharian.com.my)

Isnin, 18 Januari 2010

Jet untuk Rozita


KUALA LUMPUR - Kisah golongan kaya dan VIP cuba memikat artis memang kerap diperkatakan, namun tidak ramai mengetahui taktik mereka ‘mengayat’ (memujuk) artis yang diminati dengan berbekalkan kemewahan masing-masing.

Pelakon/model jelita, Rozita Che Wan antara antara menjadi sasaran apabila golongan berselera tinggi menawarkan berbagai kemewahan termasuk melancung ke luar negara menaiki jet peribadi, kereta mewah, banglo di puncak bukitm jika bersetuju mengikuti telujuk mereka.

Ikuti pengalaman artis terbabit yang menceritakan lebih lanjut mengenai ‘ayat power’ dan umpan yang ditawarkan VIP untuk menjerat mereka.


ROZITA CHE WAN, 36:

“Tahun lalu seorang lelaki yang menjadi orang tengah menelefon dan minta saya menemani seseorang untuk makan malam. Katanya, makan malam itu privasi hanya untuk saya dan lelaki itu bagi tempoh dua jam saja.

Sebagai upah, saya boleh minta berapa saja walaupun puluhan ribu ringgit. Selepas saya menolak tawarannya, lelaki itu berkali-kali cuba menghubungi saya dan menghantar SMS dengan memaklumkan tawaran sentiasa terbuka. Katanya, saya boleh berhubung dengannya semula jika berubah fikiran.

Saya berasa sungguh terhina dengan tawaran sebegitu. Saya juga pernah menerima tawaran melancong ke luar negara. Mereka bukan saja menelefon saya secara peribadi tetapi ada yang datang ke rumah dan sanggup menyediakan jet persendirian untuk mengambil saya.

Saya tidak layan semua itu dan jangan fikir juga semua artis boleh dibeli dan dikaburi dengan wang ringgit.” - Oleh ISMA ISMAIL, NAZARALI SAERIL dan FIRDAUS SAHAT (metahad@hmetro.com.my)

Rabu, 13 Januari 2010

Rozita: Ada Apa Dengan Janda?


PELIK apabila golongan yang sepatutnya dilindungi masyarakat ini menjadi objek cemuhan. Tetapi itu realitinya. Tanya saja Rozita Che Wan. Bukan saja perlu menghadapi cabaran kehidupan seharian tetapi mereka terpaksa berdepan pandangan serong masyarakat yang pantas menilai dan mengkritik.

"Bukan mudah untuk memegang gelaran janda, banyak dugaannya. Tak tahu mengapa ramai yang melihat kami sebagai golongan yang suka merampas suami orang, bermata duitan ... seakan kami ini tiada harga diri.

"Kami bukan golongan yang 'desperate'. Saya mampu lagi menyara hidup keluarga dan anak-anak melalui kerja lakonan saya. Terkilan tapi benda-benda ini menjadikan saya lebih kuat dan tabah," luah ibu tunggal beranak dua ini.

Kerana statusnya, Rozita yang sudah lebih enam tahun menjanda, sering dikaitkan dengan orang kenamaan atau suami orang. Antaranya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) dan Datuk Seri Effendi Nawawi. Pernah terjadi beberapa tahun lalu, insiden di mana dia hampir-hampir dipukul isteri seorang VIP yang salah anggap bahawa Rozita ingin merampas suaminya.

"Mengapa tidak 'highlight' pada kerjaya saya, asyik-asyik kontroversi, mensensasikan kisah peribadi yang takde. Lainlah kalau ada yang betul-betul nampak. Tapi semua cerita yang keluar ni, takde yang betul.

"Macam mana saya nak kahwin bila saya belum bertemu lagi dengan orang yang Tuhan kata jodoh saya. Saya perlukan ruang untuk berkenalan tapi bila selalu saja ada cerita kononnya saya keluar dengan entah VIP mana, orang yang berminat pun takut hendak mendekati," katanya.

Ditambah pula memegang gelaran artis, Rozita sedar ada segelintir lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan.

"Kalau kita jual nasi lemak, ada ke dia pandang kita? Sebab itu, kita kena pilih betul-betul. Kita hanya akan tahu selepas lama mengenali mereka, jika mereka itu jujur ke tak."

Gembira dengan kehidupannya, namun, wanita berusia 36 tahun ini mengakui berasa bimbang memikirkan hari tuanya.

"Takut juga bila dah tua nanti takde orang yang jaga. Saya tak nak kacau anak-anak. Tapi kalau ada laki, ada jaminan ke dia boleh jaga kita?"

Jumaat, 8 Januari 2010

Kekok didekati VIP


HIDUP bergelar janda sering kali dihimpit pelbagai gosip, apatah lagi menjadi artis popular.
Itu pengalaman yang dilalui pelakon jelita, Rozita Che Wan apabila kehidupannya dilanda kontroversi konon bercinta dengan orang kenamaan atau VIP termasuk pemain bola sepak Selangor, Asraruddin Putra Omar.

Namun, Rozita ketika dihubungi menyangkal gosip sedemikian termasuk gosip terbaru dia menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki yang mempunyai wajah mirip, suami Datuk Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K.

Rozita, 35, menyatakan sepanjang enam tahun hidup sebagai janda, dia tidak pernah keluar berdua dengan lelaki. Katanya, dia tidak menolak jodoh tetapi masih selesa dengan kehidupan menjadi ibu tunggal.

"Sejak hidup solo, terus terang saya katakan, saya tidak pernah keluar berdua dengan mana-mana lelaki. Sebelum ini, bila gosip saya dikatakan bercinta dengan Asraruddin, hubungan kami terputus begitu saja kerana saya tidak mahu persahabatan ini disalah erti.

"Saya juga terkejut apabila gosip terbaru mengatakan saya pula bercinta dengan lelaki mirip Datuk K. Pada saya, perkara itu tidak benar.

"Saya tidak kisah dengan apa orang kata pada saya tetapi jika perkara itu benar, tunjukkan bukti dan saya juga sanggup mengaku. Tidak dinafikan ada lelaki termasuk VIP berkenalan dengan saya tetapi saya tidak selesa apabila mereka ajak keluar walaupun baru kenal," katanya.

Berkongsi pengalaman hidup sebenar, menariknya Rozita turut diberi peluang memainkan karakter anak dara tua yang berjaya dalam karier tetapi masih tidak berkahwin menerusi drama sebanyak 13 episod, Aku Terima Nikahnya arahan Saipul Bahri.

"Banyak persamaan saya dengan watak ini. Menariknya, dia terbayangkan hidup selepas berkahwin apabila bertemu dengan lelaki seperti ahli bomba, silap mata termasuk atlet.

"Dia bekerja sebagai wartawan majalah dan seronoknya saya berpeluang menemu bual Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dalam drama ini lalu bertanyakan soal mendapat jodoh yang sesuai.

"Katanya, setiap hari sebelum pergi kerja, kita harus berdoa. Dalam pada itu, kita juga digalak membuat sembahyang istikharah dan hajat untuk mendapat petunjuk," katanya.

Mengenai azam 2010, Rozita menyatakan dia mahu memperluas bakat lakonan menerusi karakter berbeza. Tahun ini, Rozita menantikan dua filem barunya iaitu Misteri Balan The Movie arahan Anith Abidin dan Adik Manja Returns (arahan Dharma Harun Al-Rashid).

Menerusi Misteri Balan The Movie yang tertangguh sejak tiga tahun lalu, Rozita tampil sebagai model bersama Nasir Bilal Khan yang melakonkan watak wartawan. Rozita juga terbabit dengan drama Cikgu Kemisah Kirby arahan Raja Ahmad Alauddin yang menjalani penggambaran hari ini. - Oleh Elrafaei Sapi (ahmadelrafaei@hmetro.com.my)

Khamis, 7 Januari 2010

Artis lupakanlah fesyen Bohemian


DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyeru kepada artis-artis Islam di Malaysia supaya meninggalkan fesyen Bohemian dan pelbagai lagi fesyen yang pelik-pelik yang tidak menggambarkan jati diri mereka yang sebenar.

DPPWP berasa sedih kerana ketidakfahaman yang dilalui oleh ramai artis Malaysia menjadikan mereka begitu mudah terjebak dengan industri fesyen yang makin mengarut hari ini.

Sebagai umat Islam dan tokoh umum, mereka sewajarnya menunjukkan contoh dan pemakaian yang baik agar tidak mengundang fitnah kepada diri serta masyarakat Islam umumnya.

Dunia fesyen hari semakin jauh menyimpang dan kebanyakannya mengeksploitasi artis Malaysia yang dilihat berpakaian tetapi sebenarnya telanjang (tidak menutup aurat) seperti yang pernah diungkapkan oleh Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Setiap umat Islam mempunyai hak untuk memakai apa sahaja, tetapi Islam juga mempunyai hak ke atas mereka untuk mendidik kod etika berpakaian yang betul agar mereka tidak disamakan dengan artis yang bukan Islam.

Allah berfirman dalam Al-Quran: "Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." [Al Ahzab 33:59].

Sesungguhnya, telah banyak peringatan yang Allah beri, tetapi mungkin artis-artis ini tidak tahu, oleh itu menjadi kewajipan untuk DPPWP menegur mereka dan berkongsi peringatan dari Rasulullah kepada anaknya iaitu:

"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya" [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sesungguhnya Islam tidak melarang fesyen untuk wanita Islam tetapi biarlah fesyen itu melindungi mereka daripada fitnah dan bahaya jenayah rogol.

DPPWP memahami bahawa dunia artis merupakan periuk nasi mereka, tetapi janganlah kerana keperluan itu mereka sanggup untuk dieksploitasikan sedemikian rupa.

Daripada Aisyah bahawa Nabi bersabda:

"Barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka dia akan dicukupkan perbelanjaan manusia dan barangsiapa yang mencari kemarahan Allah dengan relanya manusia nescaya dia diserahkan oleh Allah kepada manusia."

Maka DPPWP sekali lagi mengajak artis-artis Malaysia agar kembali menjadi contoh mukmin dan mukminah yang baik bagi mengangkat martabat diri mereka dan umat Islam keseluruhannya. - Herman Samsudeen timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Selasa, 5 Januari 2010

Keratan Akhbar!


Salam.

Paparan terkini kisah mengenai pelakon jelita Rozita Che Wan yang di siarkan di akhbar Mingguan Warta Perdana Bilangan 1053, muka surat 3 bertarikh 10 Januari 2010.