Jumaat, 19 Mac 2010

ROZITA BERCUTI DI MANCHESTER


PELAKON Rozita Che Wan,37, menolak dakwaan yang menyatakan beliau ditaja untuk bercuti ke Manchester, United Kingdom dalam masa terdekat ini.

Ibu tunggal kepada dua cahayamata ini berkata, demikian dalam pertemuan minggu lalu.

Menurut artis jelita ini, beliau rimas apabila setiap kali mahu bercuti ke mana-mana destinasi dalam dan luar negara, ada kedengaran suara-suara sumbang mengaitkan dirinya ditaja VIP.

“Mentang-mentanglah status saya sebagai ibu tunggal, ada yang tergamak menuduh saya ditaja, sedangkan saya tidak ada kena mengena dengan tajaan mana-mana VIP, saya bercuti menggunakan wang simpanan hasil titik peluh dalam bidang seni,” ujarnya.

Namun begitu, sebagai artis Rozita berkata, dia tidak terdaya menahan peminatnya dari bercakap mengenai perkembangan dirinya.

“Pada saya jika peminat terus memperkatakan tentang diri saya, bermakna mereka berminat mengambil tahu apa yang saya lakukan,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Ita.

Rozita berkata, insya-Allah beliau bersama adiknya pelakon jelita Ayu Raudhah yang sedang intim dengan pemain bola sepak kebangsaan Mohd Zaquan Adha, akan bercuti selama dua minggu ke United Kingdom.

Apabila ditanya bilakah beliau akan mengakhiri zaman jandanya Rozita berkata, dia seboleh-bolehnya mahu berkahwin, memiliki keluarga bahagia, tetapi apakan daya kerana belum bertemu lelaki pujaan hati.

“Saya tidak memilih, asalkan lelaki tersebut seikhlas hati menerima saya seadanya serta dua anak yang kini di bawah jagaan saya,” ujarnya.

Katanya, hubungannya dengan pemain bola sepak negara Asrarudin Putra Omar,22, hanyalah sebagai seorang rakan tidak lebih dari itu dan menyerahkan soal jodoh pada Allah.

“Dia terlalu muda, layak pangkat adik saja dengan Ita,” tambahnya.

Mengenai perkembangan terbaru dalam bidang seni, Rozita yang banyak mendapat tawaran berlakon, melahirkan rasa syukur atas rezeki kurniaan Allah itu.

“Jadual penggambaran drama saya padat, pada 28 Februari lalu saya berada di Perlis selama 25 hari terlibat dengan drama bersiri 13 episod berjudul Kiah Pekasam. Saya memegang watak utama menjual ikan pekasam kepada orang-orang kampung,” ujarnya.

Katanya, selepas itu akan terlibat dengan penggambaran slot Samarinda TV3, 26 episod berjudul Asmaradana dan menyambung penggambaran drama 26 episod terbitan RTM berjudul Cikgu Kamisah.

“Selagi diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah saya akan terus berlakon kerana ianya periuk nasi saya serta menaruh harapan akan mendapat lebih banyak tawaran sekembalinya dari bercuti,” ujarnya. - Oleh: Zuraidah Abdul Halim

Khamis, 18 Mac 2010

Rasa Tak Lengkap Tanpa Bulu Mata Palsu


BULU mata palsu bukan sahaja dikaitkan dengan pelakon terkenal Siti Shahriza malah turut sinonim dengan aktres jelita Rozita Che Wan.

Setiap kali keluar rumah, Rozita takkan lengkap tanpa berbulu mata palsu dan boleh dikatakan dalam sehari dia perlu mengenakan sepasang bulu mata palsu.

Selain itu, dalam beg tangannya perlu ada cermin muka, kertas untuk menyerap minyak muka dan pengilat bibir.

Mengikut perkiraannya, sepasang bulu mata palsu boleh tahan digunakan sehingga tiga hari. Pelakon drama Asmaradana itu hanya perlu menanggalkan dengan berhati-hati dan sentiasa cermat dalam pemakaiannya.

“Walaupun bulu mata palsu tu murah, kita boleh berjimat dengan menggunakannya elok-elok,” katanya.

Bayangkan, hasil penggunaan bulu mata palsu sahaja, Rozita sebenarnya telah menjadi trend-setter kerana ramai peminat wanita terutama pengantin mahu mengenakan bulu mata palsu sepertinya.

Melalui jurumekapnya, Amy Janz, Rozita menerima respons bahawa ramai pengantin yang meminta bulu mata palsu sepertinya.Lantas, dia terus mendapat idea untuk menghasilkan bulu mata palsu jenama Rozita Che Wan yang akan dipasarkan sebelum hujung tahun ini.

“Tidak lama lagi, saya akan mengeluarkan bulu mata palsu dengan jenama saya yang sedang dibuat di Indonesia. Saya memilih negara itu kerana di sana bulu mata palsu yang dihasilkan sangat cantik dan berkualiti.

“Saya sudah membuat lima rekaan bulu mata palsu dalam pelbagai saiz dan bentuk,” jelas Rozita.

Memandangkan ramai yang menganggap dirinya begitu obses dengan bulu mata palsu, ramai yang ingin mengetahui berapa banyak koleksi yang dimiliki olehnya.

“Saya tidak mempunyai banyak koleksi bulu mata palsu kerana apabila saya pergi ke mana-mana majlis, saya akan dimekapkan oleh Amy Janz.

“Setiap kali memborongnya, saya akan membeli sekotak bulu mata palsu yang mengandungi 70 pasang dan ia boleh tahan selama enam bulan.

“Apabila keluar menjalani penggambaran, saya akan mengenakan mekap sendiri lengkap dengan kosmetik asas seperti bedak asas, bedak halus, bedak kompak, pembayang dan pembayang mata berwarna coklat,” katanya yang turut menitik beratkan penjagaan kulit muka.

Setiap kali sebelum tidur, aktres berusia 36 tahun itu akan mencuci mukanya dengan pencuci muka jenama Loreal.

Untuk lebih menghalus dan mencantikkan kulit muka, Rozita memakai mask dalam tiga hari sekali. Alasannya dia jarang berpeluang menghabiskan masa membuat rawatan muka di pusat kecantikan.

“Jadi, saya akan membuat facial sendiri di rumah dengan menggunakan peel off mask dan whitening mask jenama Garnier. Masa itu, saya boleh merehatkan muka tanpa mengenakan sebarang mekap,” cerita aktres berstatus janda anak dua itu.

Sesekali berbelanja kosmetik dan alat penjagaan diri, Rozita hanya mengeluarkan belanja sebanyak RM300 sahaja. Setiap bulan, Rozita hanya memerlukan keperluan penjagaan diri wajib seperti pencuci muka, syampu, vitamin untuk rambut dan tisu lembap.- Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ - Foto IKRAM ISMAIL

Isnin, 15 Mac 2010

Ucap Selamat Tinggal




KUALA LUMPUR - Biarpun masih cantik dan seksi, segelintir artis mengibaratkan diri mereka sudah mencapai klimaks dalam dunia lakonan dan seolah-olah mahu mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.

Bukan merajuk, tetapi birokrasi dalam bidang diceburi membuat kalangan artis ini tidak tahan dan tertekan dengan pahit getir anak seni.

Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 35, membuat pengakuan mengejut apabila mengumumkan mahu bersara sebagai pelakon mulai tahun depan.

Begitupun, dia menafikan sudah bertemu jodoh kerana keputusan persaraannya dibuat atas sebab lain.

“Bukan nak kahwin. Macam saya ini, siapa yang nak. Sebenarnya saya sudah penat. Penat dengan aktiviti lakonan dan tidak tahan dengan pelbagai gosip serta pandangan masyarakat yang banyak memberi aib kepada saya dan keluarga,” katanya.

Rozita berkata, persaraannya juga tiada kena mengena dengan tekanan pihak tertentu, terutama golongan VIP yang sering dikaitkan dengannya.

“Saya ada perancangan sendiri. Insya-Allah dalam tahun ini juga saya akan memulakan perniagaan sendiri.

“Saya akan mengeluarkan produk bulu mata palsu dengan jenama menggunakan nama saya. Saya optimis perniagaan ini mampu berkembang,” katanya.

Menurut Rozita, dia mengakui pasti ramai mempersoalkan keputusannya kerana ia dibuat ketika dia masih meraih populariti terbaik masa kini.

“Bagi saya, lebih baik berhenti ketika popular, baru kita akan diingati dan dikenang selalu.

“Jika berhenti ketika populariti merudum, nama hanya suam-suam kuku, orang tak akan ingat kita, malah kadangkala perasan pun tidak,” katanya.

Sebelum meninggalkan dunia lakonan, Rozita berharap masyarakat tidak berterusan membuat penilaian negatif terhadap dirinya, terutama hal kemewahan dimilikinya.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Dengan rezeki yang Tuhan beri, saya mampu dapat apa yang saya mahu dalam masa singkat.

“Begitupun orang tidak tahu banyak pengorbanan perlu dilakukan. Bukan senang mahu senang kerana tiada jalan mudah untuk kita capai apa dikehendaki,” katanya.

Sepanjang menceburi bidang lakonan, Rozita mengakui dia bekerja keras tanpa mengenal penat lelah. Ketika ini dia berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Perlis bagi memenuhi tuntutan jadual penggambaran dan aktiviti sebagai jurucakap produk.

“Tempoh 24 jam itu saya rasakan singkat. Ketika ini saya seperti tiada masa rehat dan bersenang-senang kerana dalam tempoh beberapa hari perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke Perlis.

“Kadangkala terpaksa tidur di dalam kereta sampai kaki kejang,” katanya.

Rozita berkata, bidang lakonan ternyata memberinya rezeki melimpah-ruah dan mencukupi untuk kehidupannya.

“Buat peragaan, menjadi jurucakap produk pula satu bonus untuk saya. Bolehlah tampung perbelanjaan untuk beberapa bulan.

“Malah, ada iklan yang saya buat boleh tampung perbelanjaan sehingga setahun,” katanya berterus terang.

Rozita mengakui walaupun mempunyai tahap pendapatan selesa, dia tidak banyak mengeluarkan wang.

“Sebahagian wang saya hanya disalurkan ke rumah, kereta dan perbelanjaan harian serta anak. Selebihnya saya laburkan dalam saham amanah.

“Keuntungan daripada pelaburan juga memberangsangkan,” katanya yang memiliki BMW 3 series bernombor pendaftaran dua angka bernilai lebih RM200,000.

Ditanya apa selepas BMW, tanpa berselindung Rozita berkata, dia kini berusaha memiliki kereta mewah Porsche Cayenne. - Oleh Adam Salleh, Isma Ismail & Asmizan Mohd Samiranmetahad@hmetro.com.my

Isnin, 8 Mac 2010

ONE DROP PERFUMES BERWAJAH BARU
















Kotak bermagnet mudah dibuka,pati minyak wangi 3ml
Oleh:Zuraidah Abdul Halim (zuraidah@perdana.online.com.my)

DEMI memenuhi hati pengguna, One Drop Perfumes (ODP) kini tampil dengan wajah baru menggunakan kotak bermagnet, mudah dibuka serta botol wangian didatangkan dengan warna mengikut setiap set wangian.

Pengarah Urusan Kumpulan One Drop Sdn Bhd, Josafri Johari berkata, bagi tujuan tersebut syarikat telah memperuntukkan RM750,000 yang menampilkan konsep moden dan berwarna warni.

Josafri yang lebih mesra dengan panggilan Jo, berkata, menerusi wajah baru ODP, syarikat mensasarkan jumlah RM15 juta sehingga 20 juta bagi pasaran dalam Negara.

“Kami turut mengedar ODP di Brunei, Vietnam, Singapura, Australia, Amerika Syarikat dan Bangladesh dalam usaha menembusi pasaran dunia dan menjangkakan ia akan menyumbangkan lebih 12 peratus kepada syarikat,”ujarnya.

Josafri berkata, lebih menarik kandungan pati minyak wangi telah dinaikkan kepada 3 ml setiap botol berbanding 2.75 ml sebelum ini, yang secara tidak langung memberi lebih kandungan kepada pengguna.

“Saya menaruh harapan tinggi, dengan pembaharuan yang dilakukan dapat meningkatkan penerimaan produk ini di hati pengguna, tidak mengira bangsa dan lapisan masyarakat,” ujarnya.

Katanya, syarikat masih mengekalkan harga RM40 bagi pek biasa di Semenanjung dan RM45 di Sabah/Serawak. Manakala RM45 bagi ‘celebrities special’ di Semenenjung dan RM50 di Sabah/Serawak.

Bagi set mini yang hanya mempunyai empat botol dijual dengan harga RM25 di Semenanjung dan RM27 di Sabah/Serawak.

“Pembaharuan ini sebagai menghargai pengguna sedia ada serta untuk meluaskan pengaruh produk ini kepada peringkat global,” ujarnya.

Katanya, sejak berada di pasaran pada 2008 One Drop Perfumes iaitu pati minyak wangi tanpa campuran alkohol dan air, wangian yang diinspirasi dari jenama wangian antarabangsa kini berjumlah 22pek kesemuanya iaitu pek biasa 10 dan pek mini sebanyak 12.

“Pek baru ini telahpun memasuki pasaran sejak Februari lalu, hasil tindakbalas yang diterima amat memberangsangkan kerana ODP telah mempunyai 14,000 pengedar dan mensasarkan 25,000 pada tahun ini.

Pelakon Rozita Che Wan yang juga merupakan duta produk ODP bersyukur, di atas sambutan mengalakkan dan berharap peminat setianya akan terus menggunakan produk ini kerana harganya murah, kualitinya menyamai pewangi antarabangsa serta tidak rugi memilikinya.