Jumaat, 19 Mac 2010

ROZITA BERCUTI DI MANCHESTER


PELAKON Rozita Che Wan,37, menolak dakwaan yang menyatakan beliau ditaja untuk bercuti ke Manchester, United Kingdom dalam masa terdekat ini.

Ibu tunggal kepada dua cahayamata ini berkata, demikian dalam pertemuan minggu lalu.

Menurut artis jelita ini, beliau rimas apabila setiap kali mahu bercuti ke mana-mana destinasi dalam dan luar negara, ada kedengaran suara-suara sumbang mengaitkan dirinya ditaja VIP.

“Mentang-mentanglah status saya sebagai ibu tunggal, ada yang tergamak menuduh saya ditaja, sedangkan saya tidak ada kena mengena dengan tajaan mana-mana VIP, saya bercuti menggunakan wang simpanan hasil titik peluh dalam bidang seni,” ujarnya.

Namun begitu, sebagai artis Rozita berkata, dia tidak terdaya menahan peminatnya dari bercakap mengenai perkembangan dirinya.

“Pada saya jika peminat terus memperkatakan tentang diri saya, bermakna mereka berminat mengambil tahu apa yang saya lakukan,” ujarnya yang lebih mesra dengan panggilan Ita.

Rozita berkata, insya-Allah beliau bersama adiknya pelakon jelita Ayu Raudhah yang sedang intim dengan pemain bola sepak kebangsaan Mohd Zaquan Adha, akan bercuti selama dua minggu ke United Kingdom.

Apabila ditanya bilakah beliau akan mengakhiri zaman jandanya Rozita berkata, dia seboleh-bolehnya mahu berkahwin, memiliki keluarga bahagia, tetapi apakan daya kerana belum bertemu lelaki pujaan hati.

“Saya tidak memilih, asalkan lelaki tersebut seikhlas hati menerima saya seadanya serta dua anak yang kini di bawah jagaan saya,” ujarnya.

Katanya, hubungannya dengan pemain bola sepak negara Asrarudin Putra Omar,22, hanyalah sebagai seorang rakan tidak lebih dari itu dan menyerahkan soal jodoh pada Allah.

“Dia terlalu muda, layak pangkat adik saja dengan Ita,” tambahnya.

Mengenai perkembangan terbaru dalam bidang seni, Rozita yang banyak mendapat tawaran berlakon, melahirkan rasa syukur atas rezeki kurniaan Allah itu.

“Jadual penggambaran drama saya padat, pada 28 Februari lalu saya berada di Perlis selama 25 hari terlibat dengan drama bersiri 13 episod berjudul Kiah Pekasam. Saya memegang watak utama menjual ikan pekasam kepada orang-orang kampung,” ujarnya.

Katanya, selepas itu akan terlibat dengan penggambaran slot Samarinda TV3, 26 episod berjudul Asmaradana dan menyambung penggambaran drama 26 episod terbitan RTM berjudul Cikgu Kamisah.

“Selagi diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah saya akan terus berlakon kerana ianya periuk nasi saya serta menaruh harapan akan mendapat lebih banyak tawaran sekembalinya dari bercuti,” ujarnya. - Oleh: Zuraidah Abdul Halim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan