Sabtu, 12 Disember 2009

Temubual Terkini!


ROZITA: Tiada rahsia Lagi..

PERTEMUAN kali ini, Rozita Che Wan nyata lebih terbuka berbicara mengenai dirinya. Baik persoalan karier mahupun peribadi dijawab dengan telus.

Jelas aktres jelita ini, tidak perlu berahsia kerana pembaca sewajarnya tahu warna diri sebenarnya. Dia tidak mahu lagi ada yang tersalah anggap apabila kanvas hidupnya sejak empat tahun lalu tidak sunyi daripada tebaran nuansa kontroversi.

Barangkali itulah bayaran populariti yang terpaksa ditelan selepas bergelar anak seni namun jauh di tangkai hati ibu tunggal ini dia tidak rela maruah diri diperlakukan sewenang-wenangnya.

Sudah lenguh bibirnya menjelaskan perkara sebenar namun masih ada pihak yang suka mengeksploitasi khabar angin yang diperkatakan biarpun tidak ada bukti. Paling merimaskan apabila dia sering dikaitkan dengan lelaki dan golongan VIP.

Dek kerana itulah tegasnya kurang tiga tahun dari sekarang dia akan meninggalkan kerjaya glamor ini dan mahu fokuskan sepenuh perhatian kepada keluarga.

Sementelah dia bukan wanita yang ghairah memburu karier atau gelaran primadona, apa yang diharapkan adalah melihat anak membesar depan mata.

Ada yang tergamak sebarkan cerita kononnya saya kena tangkap basah dengan VIP. Kalau betul tangkap basah pasti sudah jadi tajuk utama akhbar dan berita.

“Kontroversi sebegini jejaskan nama baik saya dan keluarga. Mujur anak-anak memahami kerana mereka tahu apa yang saya buat.

“Terus-terang saya bukan pemburu cinta VIP. Andai ada jodoh selepas ini, saya tidak kisah bersuamikan orang biasa.

“Bukan skeptikal tetapi bagi saya, kebanyakan lelaki berada ego tinggi. Mereka fikir boleh beli wanita dengan duit sebab itulah ada antaranya kurang menghargai wanita dan gemar menabur cinta dengan sewenang-wenangnya.

“Bukan duit atau harta yang saya pandang, apa yang penting jejaka itu mencintai saya sepenuh hati dan boleh menerima anak-anak seperti darah dagingnya sendiri. Buat apa dambakan yang kaya raya jika perlu berkongsi kasih?“ kata bekas pramugari ini.

Dia tidak menafikan ramai cuba menabur cinta tapi tidak semudah itu hatinya terpaut.

Apa lagi kebanyakannya berpaksikan nafsu di sebalik kebaikan yang ditunjukkan. Dia bukan budak hingusan yang mudah digula-gulakan, sekilas pandang wanita berjiwa kental ini sudah dapat membaca apa yang tersirat di hati mereka yang berusaha mendekatinya.

Terbaru, diari seni Rozita sekali lagi dipalit desas-desus akan menamatkan zaman bujang tahun depan dengan tokoh korporat. Anak jati negeri Jelapang Padi ini bagaimanapun menafikan perkara itu dan berharap spekulasi berkenaan segera dinoktahkan.

“Tokoh korporat mana pula ni? Macam mana nak kahwin kalau belum ada teman lelaki. Memang saya ada rapat dengan seseorang tapi hubungan itu berpaksikan persahabatan. Buat masa ini belum ada tanda-tanda serius malah saya tidak berani meletakkan apa-apa harapan.

“Cukup-cukuplah kaitkan saya dengan kontroversi dan cerita tidak betul seperti ini. Saya malas! Sudahlah hidup terkongkong, ada saja yang tidak kena di mata orang sampaikan bulu mata pun boleh jadi bualan.

“Inilah antara punca mengapa saya mahu berundur daripada industri. Insya-Allah jika bertemu jodoh kurang tiga tahun daripada sekarang saya akan berhenti berlakon. Namun jika masih solo, apa boleh buat saya akan terus bertahan demi membesarkan anak-anak,” katanya yang tidak kisah meskipun ada beranggapan keputusan itu tindakan merugikan.

Rozita menambah gelaran janda yang digalasnya turut mengundang fitnah dan kata-kata kurang enak didengar.

Baginya, ibu tunggal wajar dihormati kerana memikul tanggungjawab berat, bukan dikeji. Seakan menjadi stigma janda dipandang serong walhal gelaran itu datang dari takdir hidup.

“Saya hairan mengapa janda dipandang rendah sedangkan golongan ini sepatutnya dipandang tinggi kerana mampu membesarkan anak-anak tanpa suami. Ia bukan perkara mudah apatah lagi perlu menjadi ibu dan bapa kepada anak-anak.

“Mula-mula berpisah dengan bekas suami, saya takut juga. Seboleh mungkin saya menjaga perilaku sebab tak mahu orang mengata. Tapi sampai bila saya perlu jaga hati orang lain kerana sebaik manapun kita pasti menjadi bahan umpatan masyarakat sekeliling.

“Justeru itu saya ambil pendekatan pekakkan telinga dan berusaha buktikan janda tidak seburuk yang disangka. Tidak mati wanita kalau tiada lelaki. Saya mampu berdiri di atas kaki sendiri malah cabaran yang diharungi saban hari akan buat saya semakin kental.

“Sudah enam tahun saya menjanda dan apa boleh disimpulkan hidup saya lebih berjaya tanpa lelaki. Bukan mendabik dada, tapi itu hakikat perjalanan hidup saya. Tiada lagi bebanan perasaan malah saya lega dan semakin tenang. Saya faham sesetengah wanita tidak boleh hidup tanpa lelaki, terpulang kepada pendirian masing-masing.

“Soal tanggapan janda suka merampas hak orang, bagi saya itu tidak adil. Biasanya bila ada pengalaman bercerai, kita akan jadi lebih berhati-hati kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Bukan semua ‘segila’ itu, ramai juga yang baik dan pandai jaga maruah diri,” katanya yang mengharapkan pengertian ramai.

Biarpun berada di kedudukan cukup selesa dalam industri lantaran sering menjadi buruan ramai pengarah, jiwa Rozita meronta-ronta mendedikasikan seluruh hidupnya buat dua cahaya mata tercinta, Ammar Effendy, 13, dan Aniq Ezzra, 11.

Dia sudah bersedia melupakan dunia glamor dan populariti yang diraih demi melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu sebaik mungkin.

Langsung tidak pernah terfikir kembara seninya serancak ini kerana di awal pembabitan niatnya hanya mahu mencari rezeki bagi membesarkan zuriat. Watak kecil dan pendapatan RM4,000 hingga RM5,000 sudah memadai. Populariti? Itu langsung tidak ada dalam senarai benaknya.

Siapa sangka, rezeki bintang ini mencurah-curah. Sejak menjayakan siri Sesuci Cinta Sofia, tawaran tidak pernah putus bahkan jadualnya penuh hingga Mac depan.

“Kasihan anak-anak. Hati saya tersentuh bila dengar rungutan mahu saya luangkan lebih masa dengan mereka. Mujurlah cuti sekolah ini, bekas suami bawa mereka bercuti di Istanbul.

“Terus-terang saya suka menjadi suri rumah sepenuh masa. Sebelum bercerai, saya menguruskan rumah tangga. Dari Subuh hingga malam saya pasti ada di sisi mereka.

“Saya rindukan saat itu. Sebab itulah jika bertemu jodoh dalam tempoh kurang tiga tahun dari sekarang saya nekad berhenti berlakon,” katanya.

Sama seperti ibu lain, Rozita amat menitikberatkan pendidikan anak-anak. Kesungguhannya terbukti apabila Ammar dan Aniq sering mendapat keputusan cemerlang bahkan Ammar kini menuntut di Maktab Rendah Sains Mara Pasir Salak, Perak.

“Alhamdulillah saya dikurniakan anak-anak yang cerdik dan berdisiplin. Sejak kecil saya didik mereka supaya menghargai ilmu dan diajar berdikari. Ketika berusia lima tahun mereka sudah dihantar ke tadika dan kelas tambahan.

“Mungkin kerana itu mereka tahu tanggungjawab dan tidak perlu disuruh-suruh. Bila tiba waktu belajar mereka akan mentelaah buku, begitu juga dengan solat. Setiap kali ke kedai, saya tidak ajar mereka beli makanan ringan sebaliknya beli buku,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan