Jumaat, 8 Januari 2010

Kekok didekati VIP


HIDUP bergelar janda sering kali dihimpit pelbagai gosip, apatah lagi menjadi artis popular.
Itu pengalaman yang dilalui pelakon jelita, Rozita Che Wan apabila kehidupannya dilanda kontroversi konon bercinta dengan orang kenamaan atau VIP termasuk pemain bola sepak Selangor, Asraruddin Putra Omar.

Namun, Rozita ketika dihubungi menyangkal gosip sedemikian termasuk gosip terbaru dia menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lelaki yang mempunyai wajah mirip, suami Datuk Siti Nurhaliza Tarudin iaitu Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K.

Rozita, 35, menyatakan sepanjang enam tahun hidup sebagai janda, dia tidak pernah keluar berdua dengan lelaki. Katanya, dia tidak menolak jodoh tetapi masih selesa dengan kehidupan menjadi ibu tunggal.

"Sejak hidup solo, terus terang saya katakan, saya tidak pernah keluar berdua dengan mana-mana lelaki. Sebelum ini, bila gosip saya dikatakan bercinta dengan Asraruddin, hubungan kami terputus begitu saja kerana saya tidak mahu persahabatan ini disalah erti.

"Saya juga terkejut apabila gosip terbaru mengatakan saya pula bercinta dengan lelaki mirip Datuk K. Pada saya, perkara itu tidak benar.

"Saya tidak kisah dengan apa orang kata pada saya tetapi jika perkara itu benar, tunjukkan bukti dan saya juga sanggup mengaku. Tidak dinafikan ada lelaki termasuk VIP berkenalan dengan saya tetapi saya tidak selesa apabila mereka ajak keluar walaupun baru kenal," katanya.

Berkongsi pengalaman hidup sebenar, menariknya Rozita turut diberi peluang memainkan karakter anak dara tua yang berjaya dalam karier tetapi masih tidak berkahwin menerusi drama sebanyak 13 episod, Aku Terima Nikahnya arahan Saipul Bahri.

"Banyak persamaan saya dengan watak ini. Menariknya, dia terbayangkan hidup selepas berkahwin apabila bertemu dengan lelaki seperti ahli bomba, silap mata termasuk atlet.

"Dia bekerja sebagai wartawan majalah dan seronoknya saya berpeluang menemu bual Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dalam drama ini lalu bertanyakan soal mendapat jodoh yang sesuai.

"Katanya, setiap hari sebelum pergi kerja, kita harus berdoa. Dalam pada itu, kita juga digalak membuat sembahyang istikharah dan hajat untuk mendapat petunjuk," katanya.

Mengenai azam 2010, Rozita menyatakan dia mahu memperluas bakat lakonan menerusi karakter berbeza. Tahun ini, Rozita menantikan dua filem barunya iaitu Misteri Balan The Movie arahan Anith Abidin dan Adik Manja Returns (arahan Dharma Harun Al-Rashid).

Menerusi Misteri Balan The Movie yang tertangguh sejak tiga tahun lalu, Rozita tampil sebagai model bersama Nasir Bilal Khan yang melakonkan watak wartawan. Rozita juga terbabit dengan drama Cikgu Kemisah Kirby arahan Raja Ahmad Alauddin yang menjalani penggambaran hari ini. - Oleh Elrafaei Sapi (ahmadelrafaei@hmetro.com.my)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan