Jumaat, 29 Januari 2010

RCW suka melawa


NAMA Rozita Che Wan berada dalam senarai calon akhir atau Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (2009) bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular. Kejayaan ini dapat mengubati kehampaan pada tahun lalu apabila namanya tercicir dari kategori yang sama.

Biarpun akur bukan mudah untuk menggenggam trofi Pelakon TV Wanita Popular, namun jauh di sudut hatinya, Rozita tidak menafikan mempunyai harapan yang tinggi untuk memenangi kategori itu.

Namun, dia bersikap terbuka dengan nama lain yang turut tersenarai dalam Top 5 Pelakon TV Wanita Popular untuk edisi ABPBH2009 iaitu Fasha Sandha, Noorkhiriah, Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah.

“Saya pernah tersenarai dalam kategori itu pada 2007 dan bersaing dengan Dynas, Fasha Sandha, Rita Rudaini dan Eja. Tapi rezeki ternyata berpihak kepada Dynas. Pada tahun 2008, nama saya tercicir tapi saya masih diberi peluang oleh Berita Harian untuk menjadi penyampai trofi di samping Ayu Raudhah, Saida dan Sairah.

“Alhamdulillah pada tahun ini nama saya tercalon lagi dalam senarai Top 5. Saya pun tak sangka akan tersenarai lagi. Melihat kepada calon yang bertanding menyaksikan saingan artis baru dan senior. Tapi sesiapapun yang berada di tempat saya, pasti nak menang biarpun harapan terlalu tipis.

“Pada akhirnya semua bergantung kepada pemilihan peminat yang tidak boleh dijangka. Selain Scha yang popular dengan drama Awan Dania, Tiz Zaqyah pun cukup diingati dengan drama Nur Kasih. Saya hanya mampu mengharapkan yang terbaik saja,” katanya yang sedang menyiapkan baki penggambaran drama 26 episod, Cikgu Kermisah Kerbi arahan Raja Ahmad Alauddin.

Dalam pada itu, Rozita turut ditanya mengenai sikapnya yang terlalu mementingkan gaya di depan khalayak. Harus dipuji, Rozita tidak seperti sesetengah mereka yang bergelar selebriti yang selalu mengambil mudah dalam soal bergaya dan tak pernah kalah dalam soal itu.

Pernah diusik antara pelakon yang gemar memakai bulu mata tebal, ibu kepada dua anak ini sebenarnya menunjukkan contoh yang baik bahawa apabila bergelar artis setiap sudut pasti akan dipandang dan menjadi perhatian masyarakat seperti mana kisah kontroversi yang melingkarinya.

“Ya, betul saya memang suka melawa dan semuanya dilakukan atas kepuasan diri sendiri. Sebelum bergelar artis pun, saya akan menjaga penampilan bila keluar rumah.

“Kini apa yang saya lakukan bukan nak menunjuk-nunjuk saya ini sudah jadi artis, tapi ia lebih kepada keselesaan saya membawa diri,” katanya. - Oleh Zaidi Mohamad (zaidim@bharian.com.my)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan