Rabu, 13 Januari 2010

Rozita: Ada Apa Dengan Janda?


PELIK apabila golongan yang sepatutnya dilindungi masyarakat ini menjadi objek cemuhan. Tetapi itu realitinya. Tanya saja Rozita Che Wan. Bukan saja perlu menghadapi cabaran kehidupan seharian tetapi mereka terpaksa berdepan pandangan serong masyarakat yang pantas menilai dan mengkritik.

"Bukan mudah untuk memegang gelaran janda, banyak dugaannya. Tak tahu mengapa ramai yang melihat kami sebagai golongan yang suka merampas suami orang, bermata duitan ... seakan kami ini tiada harga diri.

"Kami bukan golongan yang 'desperate'. Saya mampu lagi menyara hidup keluarga dan anak-anak melalui kerja lakonan saya. Terkilan tapi benda-benda ini menjadikan saya lebih kuat dan tabah," luah ibu tunggal beranak dua ini.

Kerana statusnya, Rozita yang sudah lebih enam tahun menjanda, sering dikaitkan dengan orang kenamaan atau suami orang. Antaranya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) dan Datuk Seri Effendi Nawawi. Pernah terjadi beberapa tahun lalu, insiden di mana dia hampir-hampir dipukul isteri seorang VIP yang salah anggap bahawa Rozita ingin merampas suaminya.

"Mengapa tidak 'highlight' pada kerjaya saya, asyik-asyik kontroversi, mensensasikan kisah peribadi yang takde. Lainlah kalau ada yang betul-betul nampak. Tapi semua cerita yang keluar ni, takde yang betul.

"Macam mana saya nak kahwin bila saya belum bertemu lagi dengan orang yang Tuhan kata jodoh saya. Saya perlukan ruang untuk berkenalan tapi bila selalu saja ada cerita kononnya saya keluar dengan entah VIP mana, orang yang berminat pun takut hendak mendekati," katanya.

Ditambah pula memegang gelaran artis, Rozita sedar ada segelintir lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan.

"Kalau kita jual nasi lemak, ada ke dia pandang kita? Sebab itu, kita kena pilih betul-betul. Kita hanya akan tahu selepas lama mengenali mereka, jika mereka itu jujur ke tak."

Gembira dengan kehidupannya, namun, wanita berusia 36 tahun ini mengakui berasa bimbang memikirkan hari tuanya.

"Takut juga bila dah tua nanti takde orang yang jaga. Saya tak nak kacau anak-anak. Tapi kalau ada laki, ada jaminan ke dia boleh jaga kita?"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan